Pedati Emas Tak Selesa, Mahkota Diraja Berisiko Patahkan Tengkuk!- Ratu Elizabeth
5:25 AM
Ratu Elizabeth turut mendedahkan betapa tidak selesa berada dalam pedati
diraja, dan betapa memakai mahkota diraja berisiko ‘patah tengkuk’.
Monarki Britain paling lama yang bertakhta itu telah ditabal sebagai
ratu pada 2 Jun 1953 di Westminster Abbey, London, dalam satu istiadat
mewah yang membawa tradisi seusang 1,000 tahun.
Reuters melaporkan, dalam satu edisi dokumentari BBC yang bakal ke udara
pada Ahad, Ratu Elizabeth bercakap secara berseloroh tentang istiadat
tersebut dan mahkota yang membawa peranan simbolik dalam upacara
gilang-gemilang berkenaan.
"Teruk,” kata baginda mengenai perjalanan di dalam pedati emas seberat 4
tan dari Istana Buckingham ke Westminster Abbey, iaitu tempat raja-raja
monarki Inggeris dimahkotakan sejak tahun 1066.
“Ia hanya berlapik material kulit, sangat tidak selesa,” kata baginda.
Elizabeth, kini 91 tahun, cuma berumur 25 tahun ketika menjadi ratu,
setelah kemangkatan ayahandanya George VI pada 1952. Kemahkotaan
tersebut berlangsung pada tahun berikutnya.
“Ia suatu permulaan kehidupan seseorang yang berdaulat. Ia seperti satu
pertunjukan kesatriaan yang dilakukan mengikut istiadat lama. Saya
pernah menyaksikan istiadat seumpamanya (ayahanda baginda pada 1937),
dan saya pula dimahkotakan dalam satu istiadat lain. Itu luar biasa,”
kata Elizabeth.
Menyingkap memori peribadi baginda, Elizabeth juga mendedahkan betapa
baginda bersusah-payah menyarungkan persalinan diraja, yang diperbuat
daripada sutera bersulamkan mutiara, serta benang emas dan perak.
“Saya teringat pada satu masa ketika hendak berjalan atas permaidani, saya tidak boleh bergerak langsung!”
Putera Charles sebelum ini pernah bercerita tentang pengalaman bondanya
berlatih memakai Mahkota St. Edward yang seberat 2.2 kilogram tersebut
ketika memandikan Charles.
Elizabeth memakai dua mahkota dalam istiadat itu – Mahkota St Edward,
dan juga Mahkota Diraja 'Imperial State' yang bertatahkan berlian,
seperti yang dikenakan ketika ke upacara rasmi seperti pembukaan
Parlimen atau ketika membacakan ucapan dasar-dasar negara.
“Anda tidak boleh memandang ke bawah untuk membaca ucapan, anda perlu
meninggikan kertas ucapan. Kerana jika anda berbuat demikian, tengkuk
boleh patah dan mahkota akan tertanggal.
“Maka, ada beberapa kelemahan jika memakai mahkota. Namun selain
daripada itu, ia adalah sesuatu yang penting,” kata Elizabeth tersenyum.
Elizabeth sebelum ini tidak pernah bersetuju untuk membuat temu bual rasmi sepanjang baginda bertakhta.
Dalam dokumentari eksklusif BBC itu, baginda menceritakan pengalaman
baginda di hadapan pakar istiadat kemahkotaan, Alastair Bruce.
Sumber: Astro Awani
Foto: Carian Google
0 comments